Monday 12 December 2016

5 soalan anda patut tanya mengenai wang

SETIAP orang memerlukan wang demi kelangsungan hidup. Kerana adanya wang, ia memberi kita peluang untuk melakukan apa yang diingini serta mencapai matlamat hidup kita.

Pada masa ini, pengetahuan dan bahan rujukan tentang pengurusan wang boleh didapati dengan mudah menerusi pelbagai platform termasuk di internet ataupun buku-buku tulisan pakar kewangan.

Anda juga boleh mengikuti kursus yang dikendalikan oleh mentor kewangan. Jangan malu bertanya kepada mereka yang lebih arif dan berpengalaman sekiranya anda mempunyai persoalan tentang wang dan pengurusan kewangan.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa kini, sikap berhati-hati dan sentiasa beringat perlu diamalkan. Sentiasa tanamkan di dalam fikiran bahawa sebanyak mana pun wang yang anda miliki, ianya akan susut dan akhirnya habis jika tidak diuruskan dengan baik.

Sikap suka berbelanja mengikut perasaan dan bukannya kerana keperluan, terikut-ikut gaya hidup mewah atau ingin menunjuk-nunjuk boleh menjebakkan anda dalam masalah kewangan.

Sebelum membuat sesuatu pembelian khususnya barangan yang mahal dan besar, fikirkan kesan dan akibatnya terhadap kedudukan kewangan anda. Tanya diri beberapa soalan, kemudian buatlah keputusan yang bijak.

Adakah saya mampu?
Jika anda bercadang untuk membeli kereta baru, tanya diri sendiri, “Mampukah saya membelinya?” Persoalan sebenar bukan tentang kemampuan anda, tetapi kesan jangka panjang terhadap kewangan anda. Lihat pada perkara yang lebih penting dan utama. 

Anda mungkin tidak memerlukan kereta baru pada masa ini sekiranya kereta yang ada masih elok. Jika ingin menukar kereta juga, pertimbangkanlah pilihan yang tidak akan membebankan kewangan kita dalam jangka masa panjang. Yang penting anda tidak akan terbeban dengan bayaran ansuran yang tinggi serta mampu mengawal bajet anda.

Berapa kad kredit yang saya perlukan? 
Pemilik kad kredit mungkin ingin tahu berapa jumlah kad kredit yang patut dimiliki? Soalan ini sebenarnya bergantung pada diri anda kerana hanya anda yang lebih mengenali diri anda dan sikap anda terhadap pengurusan kewangan.

Secara idealnya, kad kredit sepatutnya digunakan untuk membuat bayaran sekiranya kad debit tidak diterima. Kad kredit sebagai alat yang memudahkan urus niaga, bukannya untuk berbelanja sesuka hati.

Bagi pelanggan Islam, dapatkan kad kredit berlandaskan syariah bagi memastikan anda tidak terjebak dengan transaksi yang membabitkan faedah atau riba. Ada institusi kewangan turut menawarkan kemudahan lain seperti Takaful Berkelompok dan Takaful Perjalanan dengan kad kredit Islamik mereka.

Dapat ‘durian runtuh’ apa patut saya lakukan?
Satu lagi soalan yang sering ditanya ialah apa yang patut dilakukan apabila menerima ‘durian runtuh’ atau wang dalam jumlah  yang besar. Mungkin anda menerima lebihan daripada cukai pendapatan, mendapat bonus, wang pampasan jualan tanah di kampung dan sebagainya. Kata orang, duit boleh membuatkan seseorang ‘gelap mata’ dan hilang pertimbangan. 

Menurut pakar kewangan, jika anda mendapat tuah sebegini, keutamaan perlu diberi untuk menyediakan sebuah tabung kecemasan, bukannya berbelanja besar dan bermewah-mewah. Buka akaun simpanan yang berasingan khusus untuk dana ini. Anda perlu ada simpanan untuk tempoh enam bulan sebagai persediaan jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka pada masa depan.

Bila saya patut membuat simpanan persaraan? 
Soalan ini mungkin anda rasakan tidak relevan sekarang kerana semuanya berjalan dengan baik. Anda ada kerjaya, keluarga yang bahagia, kediaman yang selesa dan mampu bercuti setiap tahun. Namun, hari esok dan masa depan belum pasti lagi.

Oleh itu mula menyimpan dari sekarang sebagai langkah persediaan. Lebih cepat anda memulakannya, lebih banyak yang dapat disimpan. Cari peluang untuk meningkatkan simpanan dengan membeli aset atau membuat pelaburan jangka panjang. 

Belajar daripada kesilapan mereka yang hidup melarat apabila tua kerana tidak beringat ketika muda.

Simpan 10 peratus daripada gaji di tempat yang betul dan tepat seperti akaun simpanan tetap, amanah saham atau unit amanah supaya dapat memberikan manfaat kewangan berganda kepada anda. Wang simpanan anda akan berkembang dalam jangka masa panjang. 

Perlukah mengambil pelan perlindungan Takaful? 
Sebagaimana anda patut menyediakan tabungan untuk menghadapi perkara di luar jangkaan, anda juga perlu mengambil pelan perlindungan komprehensif yang menawarkan pelbagai manfaat seperti pelan perlindungan Takaful.

Anda akan dapat mengurangkan kesulitan yang dihadapi kerana pelan takaful menyediakan pampasan sebagai perlindungan pendapatan serta kebajikan untuk keluarga anda. Syarikat pengendali takaful akan membayar manfaat bagi kejadian yang dilindungi seperti penyakit kritikal, hilang upaya kekal dan kematian.

Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Sediakan payung sebelum hujan. Itu asas yang perlu difahami dan dihayati apabila mempersoalkan tentang wang.

Sunday 11 December 2016

12 Doa Yang Ayah Dan Ibu Mesti Amalkan Untuk Anak-Anak

Anak adalah amanah dari Allah SWT. Ibu bapa wajib mendidik amanah tersebut menjadi insan mulia mengikut jalan yang benar dan diredai. Namun lumrah seorang kanak-kanak yang semula jadi memiliki sifat-sifat nakal sepanjang perjalanan tumbesaran mereka kadang kala menguji kesabaran ibu dan ayah.
Jangan cepat melenting menghadapi kerenah anak-anak kerana sebagai seorang Muslim kita sebenarnya mempunyai penyelesaian yang boleh dijadikan amalan seharian. Berdoalah kerana doa itu senjata orang mukmin.
Dalam Islam kita disuruh berdoa untuk memohon apa yang dihajati. Doa juga memainkan peranan penting untuk memohon kesejahteraan dan kebahagiaan diri sendiri dan keluarga. Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa mendoakan untuk kebaikan anak dan tidak mengatakan yang buruk-buruk kepada anak-anak kerana apa yang lahir dari mulut seorang ibu adalah satu doa.
Setelah semua usaha dilakukan untuk meminta sesuatu, kita diminta berdoa kepada Yang Maha Esa agar dimakbulkan apa yang telah diusahakan. Demikian yang harus kita lakukan sebagai ibu dan ayah kepada zuriat sendiri.
1. Amalkan membaca ‘Ya Latif’ sebanyak tujuh kali dan hembuskan di kepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.
2. Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti surah as-Syura ayat 19 yang bermaksud:
“Allah itu lemah lembut kepada hamba-hambaNya: Ia mengurniakan kepada siapa yang dikehendaki. Padahal, Dialah Yang Kuat, Yang Gagah.”
Sebaiknya dibaca selepas subuh iaitu dibaca pada air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.
3. Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa Surah al- Imran ayat 200 yang bermaksud:
“ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.”
4. Banyakkan zikir Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman berulang-ulang. Kesemua ini adalah doa pelembut hati.
5. Amalkan juga membaca Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam aktiviti lain seperti semasa menemani anak mengulangkaji buku-buku dan membaca al-Quran.
6. Bagi ibu-ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik elok amalkan surah al-Imran ayat 38 iaitu doa nabi Zakaria a.s yang bermaksud:
“ Wahai Tuhanku! Berikan kepadaku dari pihak-Mu keturunan yang baik, kerana sesungguhnya Engkaulah pendengar doa.”
7. Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan harapan semasa anak baru lelap elok diamalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.
8. Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari surah al-Furqan-74 yang bermaksud:
“Tuhan kami, Anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan kami yang menyenangkan hati, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertakwa” dan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud:
“ Wahai Tuhanku, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang menegakkan solat. Wahai Tuhanku! Kabulkanlah doa kami.”
9. Sebaik-baik memohon doa adalah di waktu tengah malam. Seringlah bangun sepertiga malam untuk mendirikan solat sunat dan mendoakan kesejahteraan keluarga. Sebutlah nama anak secara spesifik untuk doa lebih berkesan.
10. Saat anak-anak bergaduh baca surah al-Baqarah, ayat 102, yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
11. Anak-anak pandai belajar baca surah al-Anbiyaa, ayat 79, yang bermaksud:
“Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu, dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmah kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.”
12. Anak-anak lembut hati dan elakkan panas baran baca surah al-Anbiyaa, ayat 69, yang bermaksud:
“Kami berfirman, hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim.”
Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dunia dan akhirat. Jadi, amalkanlah demi kesejahteraan seisi keluarga. Jadikan doa antara teknik berkesan membentuk peribadi anak-anak.

Saturday 10 December 2016

Amal Zikir Fatimah Untuk Kurangkan Kepenatan Urus Rumah Tangga.

Wanita yang bergelar ibu dan bekerja sama ada di pejabat atau di rumah tentu sahaja sesekali akan terkeluar keluhan penat dan stres kerana bebanan tugas di rumah dan tempat kerja yang tak pernah habis. Menguruskan suami, anak-anak, rumah tangga, tugas di pejabat bukanlah tanggungjawab yang mudah. Sebagai manusia biasa tentu sahaja akan berasa penat dan lelah.

Selain mengeluh, mungkin ada wanita akan memperuntukkan masa untuk diri sendiri bagi menghilangkan stres dan keletihan yang dialami dengan memanjakan diri di spa, pergi berurut, bercuti atau keluar bersiar-siar bersama teman. Namun, tanpa kita sedari sebenarnya dalam Islam telah ada penawar segala kepenatan ini seperti diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada puteri Baginda, Saidatina Fatimah r.a.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, satu hari puteri Rasulullah s.a.w Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talibb r.a. tentang tangannya yang berasa sakit dan keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukan.

Saidatina Fatimah kemudian datang menemui ayahandanya baginda Rasulullah s.a.w untuk meminta seorang pembantu. Tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah s.a.w dan hanya bertemu Saidatina Aisyah r.a.

Kemudian Saidatina Fatimah meninggalkan permintaannya kepada Saidatina Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya.

Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya yang ketika itu telah berbaring di tempat tidur. Keduanya mahu berganjak bangun dan ingin menghampiri Baginda akan tetapi Rasulullah meminta mereka tetap di tempat pembaringan.

Kemudian Baginda bersabda: "Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akhbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu." (HR. Muslim, no: 4906)

Jadi, kepada ibu-ibu yang kepenatan bolehlah amalkan ajaran Rasulullah s.a.w ini untuk membaca Zikir dan Tasbih Fatimah sambil berbaring atau menyusukan bayi. Selain beroleh ketenangan anda juga dapat pahala.

Dalam pada itu, sentiasalah menanamkan dalam hati supaya ikhlas dan reda melakukan segala tanggungjawab sebagai isteri dan ibu supaya tidak terasa satu bebanan yang memenatkan. Semoga ibu-ibu semua dikurniakan ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Friday 9 December 2016

5 Cara Bina Tanggapan Betul Tentang Allah Dalam Jiwa Anak. Biar Sayang Allah!

Allah adalah Pencipta dan kuasa terulung dalam kehidupan kita. Bagaimanakah cara untuk kita mempromosikan Allah supaya penghayatannya terpasak kuat dalam jiwa anak-anak?

Ramai ibu bapa suka mengungkapkan dialog seperti ini "Kalau cakap bohong dengan mama, nanti kat akhirat Allah gunting lidah dia" ataupun "kenapa cakap macam tu? Berdosa, nanti Allah marah." Ia dituturkan bertujuan untuk menakutkan anak agar tidak mengulangi lagi kesalahan yang dilakukan.

Terfikirkah anda dialog tersebut akan ditiru dan digunakan oleh si kecil apabila bercakap dengan kawan-kawannya. Dari sisi yang positif, nyata anak anda mempunyai kesedaran tentang kewujudan Allah di sekeliling mereka.

Bagaimanapun, yang agak dibimbangi tentang dialog-dialog tersebut adalah mesej yang dibawakan tentang sifat-sifat Allah. Kadangkala, oleh kerana kita hendak menakut-nakutkan anak-anak dengan Allah, kita telah mencipta satu imej negatif tentang Tuhan dalam kotak pemikiran mereka. Ayat-ayat seperti "Nanti Allah marah", "nanti masuk neraka, seolah-olah mempromosikan kebengisan Allah kepada kanak-kanak.

Walhal, Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Sesungguhnya rahmatKu itu mendahului kemurkaanKu" (Riwayat Bukhari & Muslim).

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menanamkan dalam jiwa anak tentang betapa penyayangnya dan pengasihnya Allah SWT. Janganlah disebabkan kita habis upaya hendak mengawal kerenah anak-anak hingga meletakkan Allah hanya sebagai penghukum sahaja.

Ini adalah cara terbaik membina tanggapan betul tentang Allah dalam jiwa anak-anak yang masih suci dan bersih.

1. Guna sumber yang sahih
Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan denga persepsi yang betul tentang Tuhan. Contohnya, "Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita. Hebatkan Allah, sebab ciptakan kita ni cantik semuanya!"

2. Ingatkan ganjaran Allah
Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan mereka tentang ganjaran yang bakal diterima di akhirat kelak. Contohnya, "Masya-Allah, hari ini Afiq solat dengan mama, lepas tu tolong mama susun pinggan. Mesti Allah sayang dengan Afiq sebab buat baik dengan mama. Nanti Allah bagi Afiq pahala banyak sangat di akhirat nanti."

3. Imbangi kisah teladan
Seimbangkan kisah-kisah azab dan seksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah SWT.

4. Kaitkan kejayaan dengan rahmat Allah
Sekiranya anak anda mencapai sesuatu kejayaan, sentiasa ingatkan mereka ia datang daripada Allah. Contohnya apabila anak mencapai satu kejayaan, jangan lupa ucapkan "Alhamdulillah, Aiman dah usaha bersungguh-sungguh. Mesti Allah nampak usaha Aiman dan Dia beri keputusan yang baik untuk Aiman."

5. Setiasa pesan Allah sayangkan mereka
Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh papa dan mama, mereka juga mesti diberitahu yang kasih sayang Allah terhadap mereka lebih daripada kasih sayang manusia. Tentu mereka gembira dan berasa selamat kerana tahu Allah sentiasa sayang dan menjaga mereka setiap masa.

Semoga dengan cara yang betul kita memperkenalkan sifat-sifat Allah kepada anak-anak, mereka dapat membesar sebagai anak yang mencintai Allah SWT lebih daripada segala-galanya di dunia ini.

Sumber: Nur Edzati Kamaluddin, Ahli Gabungan PERTIM (Persatuan Tadika Islam Malaysia)

Thursday 8 December 2016

10 Panduan Asas Jaga Anak Demam.

Bila anak tidak sihat, risaunya hati ibu dan ayah. Pergi ke kerja pun tak senang duduk. Bagaimanapun demam ialah perkara biasa dalam proses tumbesaran seorang kanak-kanak. Penjagaan rapi dan belaian kasih sayang membantu si manja sembuh kembali.

Selain daripada rawatan pemberian ubat, anda juga boleh melakukan perkara asas berikut sekiranya si manja demam.

1.      Pastikan si manja sentiasa terhidrat dengan minum banyak air kosong atau susu.
2.      Jika anak kurang berselera, cuba berikan makanan yang berbentuk cecair seperti sup atau bubur yang mudah dihadam sedikit demi sedikit.
3.      Anda perlu memastikan mereka diberi ubat seperti yang dijadualkan.
4.      Antibiotik yang dibekalkan perlu dihabiskan.
5.      Minimumkan jumlah pakaian yang perlu dipakai dan elakkan memakai pakaian tebal seperti stoking atau selimut.
6.     Lapkan tubuh si kecil dengan kain basah jika suhu badannya meningkat dengan mendadak.
7.    Tindakan membasahkan kepala boleh membantu menyejukkan tubuh dan menurunkan suhu badan si manja.
8.    Sentiasa memantau suhu badan si kecil yang demam. Suhu badan mereka akan lebih tinggi pada waktu petang dan malam.
9.   Sertakan bersama ubat secukupnya berserta nota yang tertulis dos ubat dan waktu pemberian yang seterusnya jika terpaksa meninggalkannya kepada penjaga.
10. Bawa anak untuk mendapatkan rawatan sekiranya demam melebihi tiga hari.
Selain itu perhatian, belaian dan kasih sayang daripada ibu dan ayah juga membantu si manja cepat sembuh.

Wednesday 7 December 2016

Patut Atau Tidak Suami Jaga Isteri Berpantang? 10 Fakta Mengikut Hukum Islam

Biasanya bila isteri hendak bersalin, persoalan yang sering menjadi 'pertengkaran' antara suami dan isteri iaitu siapa yang akan menjaga isteri semasa berpantang? Kebiasaannya dalam masyarakat kita, apabila isteri bersalin sudah tentu dia mahu menjalani tempoh berpantang di rumah ibunya sendiri atau ibu mentua. Alasannya sudah tentu suami bekerja jadi tiada sesiapa hendak menjaga isteri.
Sebenarnya daripada sudut Islam, apakah hukumnya kalau suami menyerahkan tugas menjaga isteri berpantang kepada ibu di kampung?
Berikut adalah penjelasan Ustaz Rosli Mokhtar, Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa selangor (KUIS) berkenaan hal ini.
1. Amalan berpantang yang diamalkan oleh masyarakat kita adalah amalan adat dan bukan perkara keagamaan.
2. Dalam Islam, wanita yang bersalin dianggap mengalami nifas selagi mana dia masih melihat darah keluar semasa melahirkan bayi masih ada sehinggalah darah itu berhenti.
3. Sepanjang tempoh nifas, wanita digugurkan daripada tanggungjawab melakukan ibadat dan dilarang daripada disetubuhi suami.
4. Tiada had minima bagi tempoh nifas sementara tempoh maksimumnya ialah 40 hari. Apabila darah nifas sudah kering maka kewajipan melakukan ibadat dikenakan semula dan persetubuhan dibenarkan.
5. Istilah berpantang adalah adat masyarakat dan Islam tidak campur tangan dalam persoalan berpantang.
6. Tidak ditemui sebarang hadis atau dalam ayat al-Quran mengenai tanggungjawab suami menjaga isteri berpantang melainkan seorang wanita itu digugurkan tuntutan ibadat dan tanggungjawab melayan suami ke peringkat melakukan persetubuhan selagi darah nifas masih keluar. Apabila darah telah berhenti, tuntutan itu kembali semula.
7. Membantu isteri dalam menguruskan tanggungjawab keluarga adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sepanjang masa. Dalam keadaan isteri sakit atau lemah, tuntutan itu lebih dituntut lagi.
8. Suami digesa untuk bersifat toleransi pada isteri yang berpantang. Mereka tidak boleh memaksa isteri memasak dan membuat kerja-kerja rumah. Kepentingan isteri untuk menjaga kesihatan yang sempurna perlu diberikan perhatian.
9. Tanggungjawab suami turut berjaga malam membantu isteri yang berpantang bergantung kepada keadaan keluarga itu sendiri. Ada suami yang bekerja dan memerlukan rehat yang secukupnya dan ada pula yang mempunyai masa kerja yang fleksibel.
10. Suami dan isteri hendaklah menguruskan persoalan tersebut berdasarkan kemaslahatan keluarga dengan mencari jalan penyelesaian terbaik dan bukannya saling berbalah.

Sikap bertolak ansur dan saling memahami menjadi perkara penting menghindarkan daripada perkelahian suami isteri yang baru sahaja menerima cahaya mata. Sebaiknya masing-masing perlu saling menyokong antara satu sama lain.

Tuesday 6 December 2016

Pelbagai Khasiat Asam Gelugor

Asam gelugor bukan bahan masakan popular dalam dapur tetapi tahukah anda asam gelugor atau juga disebut asam keping menawarkan banyak khasiat kepada kesihatan tubuh badan.  Berwarna kekuningan dan berbentuk seperti buah labu, tumbuhan ini berasal dari negara India.

Air rebusan kulit buah asam gelugur juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat reumatisme dan masalah dalam perut. Selain itu buah tersebut dikatakan berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi.

Petua orang Melayu dahulu menggunakan rebusan air daun dan akar asam gelugur untuk menyembuhkan sakit telinga melalui titisan ke dalam telinga.

Bahkan buah asam gelugur juga dikatakan mampu melegakan kesakitan gusi. Caranya dengan mengambil sekeping asam gelugur  kemudian basuh hingga bersih sehingga menjadi sedikit lembut. Tampal atau selitkan di celah-celah antara gusi dan bahagian pipi selama 10 hingga 15 minit. Kemudian kumur dengan air suam.

Ada wanita mengamalkan minum air asam gelugur semasa berpantang dipercayai untuk mempercepatkan proses mengecutkan rahim. Selain itu amalan tersebut juga dikatakan mampu menurunkan berat badan.

Monday 5 December 2016

Faiz Subri Jadi Tumpuan Dunia


SIAPA sangka seorang budak kampung, Mohd Faiz Subri tiba-tiba mencuri perhatian dunia kerana jaringan penyerang Pulau Pinang itu telah disenarai pendek antara tiga gol terbaik untuk Anugerah Puskas Fifa 2016.

Selepas disenarai pendek untuk anugerah tersebut, beliau sekarang nampaknya perlu memadankan pakaian formal yang bersesuaian untuk menghadiri majlis Anugerah Fifa di Zurich pada 9 Januari tahun depan.

Pemain berusia 29 tahun yang berasal dari Air Hitam, Kedah mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mengundi untuk membolehkan jaringannya disenarai pendek.
Ketika dihubungi Bernama, Mohd Faiz berkata, beliau tidak menjangka dipilih untuk berada di tiga tempat teratas daripada senarai 10 teratas, menewaskan pemain-pemain handalan lain.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya peluang ini dan anugerah ini amat bermakna dalam hidup saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap orang di luar sana yang percaya bahawa saya telah melakukan yang terbaik," kata beliau ketika dihubungi.

Menurut laman web Fifa, dua lagi pencalonan yang disenarai pendek ialah jaringan Johnath Marlone dari Brazil dan pemain wanita Venezuela Daniuska Rodriguez, dari pusingan pertama 10 calon yang disenarai pendek.

Mohd Faiz juga berazam untuk menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang dan jika diberi peluang untuk mewakili negara dengan menjadi pemain kebangsaan, beliau dengan rasa gembira menerimanya.

"Fokus saya sekarang ialah untuk menjadi pemain yang lebih baik dan dengan pencalonan ini, semangat saya untuk menjadi yang terbaik semakin berkobar-kobar," katanya.
Mohd Faiz juga berkata sehingga kini beliau tidak mempunyai apa-apa yang istimewa kerana tidak menjangka berada dalam senarai tiga teratas kerana hanya dimaklumkan mengenai perkara itu kira-kira jam 8.30 malam tadi.

"Saya pasti akan memakai sesuatu yang menarik. Ini adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya dan juga seluruh keluarga saya," katanya.
Mengenai keluarganya, Mohd Faiz berkata mereka gembira dan mendoakan semoga ini akan menjadi batu loncatan bagi saya untuk muncul sebagai pemain terbaik pada masa depan.

"Keluarga saya terutama isteri saya, anak-anak dan ibu bapa memberi sokongan kepada saya selama ini, dan bagi saya, itu sudah cukup. Ini akan membanggakan mereka kerana dari seorang pemain kampung saya kini disenarai pendek untuk anugerah Fifa,"katanya.

Mohd Faiz menyempurnakan jaringan yang menakjubkan itu semasa membuat sepakan percuma ketika menentang Pahang pada aksi Liga Super, 16 Februari lalu, untuk membolehkan pasukan itu mengatasi Pahang 4-1.

Laman web Fifa itu tidak menyatakan jumlah undi yang diterima bagi ketiga-tiga jaringan terbaik itu.

Setakat jam 9.30 malam, gol jaringan Mohd Faiz telah disaksikan menerusi Youtube oleh 1,384,112 penonton, Marlone (904,436 penonton) dan Rodriguez (618,594 penonton). - Bernama

Sunday 4 December 2016

Jangan ambil hak orang miskin

KITA sering mendengar kisah anak penoreh getah menjadi peguam, ataupun anak nelayan jadi doktor.

Cerita sebegini lazim kita dengari, dan kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan perkara seperti ini bukannya pelik, sebaliknya ia fenomena biasa terutamanya mereka yang lahir pada zaman Dasar Ekonomi Baru.

Jelas terdapat mobiliti sosial di antara generasi di negara kita ini.

Namun persoalannya, adakah cerita-cerita yang membanggakan sebegini dapat diulangi untuk generasi masa hadapan? Jawapannya, mungkin sukar untuk mengulangi prestasi cemerlang ini.  

Ini berbeza dengan mereka yang lahir pada akhir dekad 70-an ataupun 80-an.

Kajian terbaru menunjukkan terdapatnya peningkatan sosioekonomi yang ketara, terutama dari segi pendidikan dan pekerjaan. Lebih kurang 6 daripada 10 anak-anak yang lahir dekad akhir 70-an dan 80-an mendapat taraf pendidikan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka. Malah, empat daripada 10 anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang hanya mempunyai pendidikan rendah mendapat pendidikan tertiari, terutamanya bagi kaum Melayu dan Cina. Bagi kaum India pula, hanya 1 daripada 10 anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang hanya berpendidikan rendah mampu mendapat pendidikan tertiari.

Maka tidak hairanlah hampir 74 peratus anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang berpendapatan terendah mendapat pendapatan yang lebih tinggi daripada ibu bapa mereka. Terdapat mobiliti sosial dalam kalangan rakyat, dan pencapaian sebegini adalah sesuatu yang harus kita banggakan.

Namun, langit tidak selalu cerah. Pada masa hadapan kisah anak nelayan menjadi doktor mungkin jarang diperkatakan lagi. Ini kerana dasar-dasar yang menyebabkan berlakunya peningkatan sosial sudah diubah. Peluang untuk mereka maju dalam merentas generasi makin menipis.

Faktor utama adalah penukaran dasar pendidikan yang berlandaskan meritokrasi. Sebelum ini, terutama pra-2003, peluang untuk mendapat tempat di universiti awam dan pemberian biasiswa ataupun pinjaman pelajaran bukan hanya berdasarkan kelulusan peperiksaan semata-mata. Dasar kerajaan pada masa itu amat adil di mana faktor sosioekonomi keluarga pemohon diambil kira dalam pengagihan peluang.

Oleh kerana kebijaksanaan dan keprihatinan penggubal dasar pada masa itu, maka tidak hairanlah kita acap kali mendengar cerita anak petani menjadi golongan terpelajar. Lahirnya ramai golongan profesional dan kelas menengah Melayu juga berpunca daripada dasar ini.
Namun itu cerita dahulu. Sekarang kelebihan berpihak kepada anak orang berada. 

Kemasukan ke universiti awam tempatan dan pemberian pinjaman atau biasiswa lebih menitikberatkan pencapaian akademik. Ini jelas tidak adil kepada mereka yang datang daripada keluarga yang miskin dan yang bersekolah di luar bandar. Tidak hairan apabila statistik menunjukkan hampir 40 peratus biasiswa kerajaan dibolot kelas menengah dan kaya. Ini pastinya tidak adil.

Yang lebih menyedihkan, bukan hanya peluang pendidikan universiti institusi awam memihak kepada yang kaya, malah di peringkat menengah pun peluang untuk anak golongan susah makin mengecil. Jika dahulu majoriti pelajar di sekolah elit seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) berasal dari desa dan daripada golongan berpendapatan rendah. Data kini menunjukkan hampir 40 peratus pelajar di seluruh MRSM adalah anak golongan penengah dan yang kaya.

Tetapi yang lebih menyedihkan adalah sikap orang Melayu itu sendiri, terutamanya yang kaya dan yang telah pun mendapat bantuan kerajaan. Mereka ini tanpa segan silu mengambil hak orang miskin. Tidakkah mereka sedar perbuatan ini bermaksud telah merampas peluang dan masa hadapan yang cerah bagi golongan miskin? Inilah sikap yang Zaaba telah huraikan lama dahulu, sebelum merdeka lagi. Pendeta agung kita ini berkata kaum Melayu harus menghapuskan bukan hanya kemiskinan dari segi ekonomi, tetapi juga kemiskinan akhlak dan jiwa.

Apa jalan penyelesaiannya? Mudah sahaja, peluang pendidikan terutamanya di MRSM atau SBP harus diberikan seratus peratus kepada mereka daripada golongan susah. Adalah lebih baik sekiranya peluang ini diberikan kepada anak-anak dari estet tanpa mengira kaum daripada diberikan kepada anak Melayu yang hidup senang-lenang tidur ditiup penghawa dingin saban waktu. Pengagihan peluang sebegini barulah dinamakan keadilan sosial.
Namun, jika kita masih tidak mahu mengubah dasar ini, jangan terkejut akan impak negatif yang bakal muncul pada masa hadapan.

Dipetik dari http://www.sinarharian.com.my/mobile/karya/pendapat/jangan-ambil-hak-orang-miskin-1.594044
MUHAMMED ABDUL KHALID

Saturday 3 December 2016

Bank Rakyat nafi biaya mesin penapis air

AUTA
SHAH ALAM – Baru-baru ini tersebar di laman sosial Facebook yang memaparkan tentang promosi pembiayaan Bank Rakyat untuk membeli mesin penapis air.

Berdasarkan viral itu, kononnya penjawat awam adalah pemohon yang diberi keutamaan untuk mendapatkan pembiayaan tersebut.

Harga mesin air yang ditawarkan serendah RM5,700 sehingga RM19,928 dikatakan bakal mendapat pembiayaan penuh daripada pihak Bank Rakyat yang mana pembayaran semula boleh dilakukan secara ansuran di antara tempoh 24 bulan sehingga 10 tahun.

Promosi tersebut turut memaparkan logo Bank Rakyat selain mempamerkan nombor telefon pihak yang perlu dihubungi.

FAKTA
Bank Rakyat dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan iklan yang diviralkan menerusi Facebook itu adalah palsu.

Bank Rakyat turut menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan promosi pembiayaan jenama mesin penapis air seperti yang tersebar.

“Bank Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat individu atau syarikat yang menggunakan nama dan logo Bank Rakyat tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau saluran rasmi Bank Rakyat yang lain untuk sebarang maklumat lanjut.


http://www.sinarharian.com.my/semasa/bank-rakyat-nafi-biaya-mesin-penapis-air-1.542404

Friday 2 December 2016

Bersara selesa atau tanggung hutang?

PILIHAN sama ada untuk bersara dengan hutang keliling pinggang atau penuh keselesaan terletak di tangan setiap pekerja yang pastinya memerlukan perancangan rapi bermula sejak hari pertama bekerja.

Bagi yang bersara dalam perkhidmatan awam, pastinya tiap bulan menerima wang pencen, namun bagaimana pula yang berkhidmat dengan sektor swasta dan bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Adakah jumlahnya mencukupi?

Pada 2005, KWSP melaporkan ramai pesara menghabiskan duit simpanan mereka dalam jangka masa tiga tahun atas pelbagai alasan dan keadaan itu perlu dielakkan lebih-lebih dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar sekarang.

Selain itu, bagaimana dengan yang bekerja sendiri? Apakah tabungan diyakini mampu menampung keperluan bagi digunakan pada usia tua kelak setelah tiada lagi kudrat untuk bekerja.

Menurut Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Putra, Universiti Putra Malaysia Dr Ahmed Razman Latiff, bagi pekerja swasta yang ingin menikmati persaraan idaman, perancangan dalam pelbagai sudut perlu diatur sebaiknya.

Ini termasuk pembelian hartanah, pelan insurans kesihatan, pelaburan unit amanah, menjalankan perniagaan atau membuat pelaburan melalui Skim Persaraan Swasta (PRS), katanya.

Menjelaskan mengenai pembelian hartanah, Ahmed Razman berkata orang ramai cenderung membeli hartanah terutama kediaman lebih daripada seunit kerana mengetahui nilainya tidak akan susut, sebaliknya terus meningkat.

"Jika membeli kemudian disewakan ia boleh dianggap sebagai pelaburan tambahan, tetapi perlu sentiasa lihat liabiliti masing-masing agar tidak membebankan kelak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun pelaburan hartanah mempunyai prospek cerah, tetapi pada masa sama ia mempunyai risiko terutama ketika kadar asas pinjaman (BLR) dinaikkan.

"Jika BLR naik, ansuran bulanan rumah yang tidak tetap akan meningkat sedangkan gaji atau pendapatan bulanan tetap sama, dan jika ia adalah rumah sewa sukar juga untuk naikkan kadar sewaan," katanya.

Mengenai pembelian insurans hayat, Ahmed Razman berkata ia tidak dapat dielakkan memandangkan ketika ini terdapat pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pada masa sama masyarakat cenderung memilih hospital swasta untuk rawatan.

Ahmed Razman menyarankan supaya masyarakat mengelak daripada membeli terlalu banyak insurans atas alasan ingin menikmati lebih faedah, sebaliknya satu sudah memadai jika penyedia yang dipilih adalah yang terbaik.

"Daripada membeli terlalu banyak adalah lebih baik wang berkenaan dilaburkan ke dalam unit amanah seperti yang disediakan Amanah Saham Nasional Bhd serta Tabung Haji kerana ia dijamin kerajaan," kata beliau.

Menjelaskan tentang penggunaan simpanan KWSP, Ahmed Razman berkata jika perlu, gunakanlah secara berhemat, kerana bagi sesetengah pesara ia merupakan tabungan tunggal mereka.

Katanya bagi yang ingin menggunakan wang tersebut untuk modal memulakan perniagaan, individu berkenaan perlu mempunyai ilmu termasuk jenis perniagaan yang bakal diusahakan.

"Jangan terlalu ikut trend. Bangunkan perniagaan yang ada keunikan tersendiri kerana ia beri kelebihan, jika terlalu sama dengan yang lain pelanggan ada pilihan," katanya.

Menyentuh mengenai PRS, Ahmed Razman berkata ia perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pekerja swasta atau yang berkerja sendiri untuk memastikan mereka mempunyai simpanan bagi diguna pada hari tua kelak.

Katanya walaupun pelaburan itu bersifat sukarela dan jumlah pelaburan terpulang kepada pelabur mengikut kesesuaian masing-masing, tetapi banyak faedah yang bakal dinikmati.
Mereka yang melabur dalam PRS bukan sahaja menikmati pengecualian cukai sehingga RM3,000, tetapi turut pelaburan turut diberi dividen tahunan.


"Pastinya PRS selamat untuk penyimpanan dan pelaburan persaraan berjangka panjang untuk kelangsungan hidup yang sempurna bagi pesara atau yang bekerja sendiri," katanya. - Bernama

Thursday 1 December 2016

Hibah bantu tadbir urus harta lebih cepat

HIBAH mungkin sesuatu yang asing dan jarang didengar  berbanding zakat, wakaf, sedekah atau wasiat. Namun, hibah bukanlah instrumen kewangan baharu dalam Islam.

Menurut undang-undang Islam seseorang itu dibenarkan memberi atau menghadiahkan sebahagian atau seluruh harta kekayaannya ketika dia masih hidup kepada orang lain tanpa sebarang paksaan serta mengharapkan sebarang balasan.
Pemberian semasa hidup ini dikenali sebagai 'hibah’ ataupun bermaksud ‘hadiah’.  Dalam hukum Islam jumlah harta seseorang yang dapat dihibahkan itu tidak terhad. Hal ini berbeza dengan pemberian seseorang melalui wasiat yang terbatas pada satu pertiga daripada harta peninggalan dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada seseorang waris kecuali dengan persetujuan semua waris yang lain.

Hibah merupakan salah satu langkah yang sesuai digunakan dalam pembahagian harta di kalangan umat Islam iaitu di antara waris dan sesama ahli keluarga.

Hibah telah digunapakai sebagai konsep tambahan kepada produk-produk takaful yang diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful. Misalnya melalui produk pelan pendidikan, ibu atau bapa sebagai pembayar caruman  (pemberi hibah) dan anaknya merupakan orang yang dilindungi  (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipatuhi.

Selain itu, ada pengendali takaful yang memberikan manfaat dalam bentuk hibah kepada peserta sebagai ganjaran atas kejayaan peperiksaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan adalah tidak bercanggah.

Terdapat juga pelaksanaan hibah menerusi manfaat takaful iaitu waris akan menerima manfaat jika peserta mengalami musibah hingga menyebabkan kematian. Andaikata peserta meninggal dunia, jumlah perlindungan akan dihibahkan kepada waris beliau.

Sebagai contoh, sekiranya seorang suami ingin menghibahkan keseluruhan manfaat takaful kepada isterinya, maka isterinya itu akan mendapat keseluruhan jumlah perlindungan tersebut. Hal ini kerana penamaan hibah atau pemberian tersebut telah ditentukan ketika peserta masih hidup.

Bagi si isteri pula dia menerima manfaat takaful berasaskan konsep hibah bersyarat di mana manfaat tersebut akan diberikan secara terus dan dipindah milik kepadanya setelah suami meninggal dunia dan tidak menjadi sebahagian harta pusaka peserta.

Sebaliknya jika suami yang merupakan peserta melantik isteri sebagai wasi (pemegang amanah), maka tanggungjawab isteri untuk membahagikan wang daripada jumlah perlindungan kepada waris secara faraid.

Bagaimana pula pengagihan harta kepada mereka yang memerlukan tetapi tidak berhak mendapat harta secara faraid ataupun menerusi wasiat? Sebagai contoh, pemberian harta kepada anak angkat. Pengagihan harta boleh dilakukan melalui pemberian hibah dan mereka akan turut mendapat manfaat daripadanya.

Hibah dapat melancarkan pembahagian harta, merapatkan ikatan persaudaran dan pertalian kasih sayang dalam masyarakat hari ini. Sikap saling membantu dan berkasih sayang akan terus terjalin dalam sesebuah keluarga dengan penuh kerukunan walaupun setelah ketiadaan salah seorang ahli keluarga, terutamanya ketua keluarga yang bertanggungjawab menanggung segala keperluan keluarganya.