Sunday 4 December 2016

Jangan ambil hak orang miskin

KITA sering mendengar kisah anak penoreh getah menjadi peguam, ataupun anak nelayan jadi doktor.

Cerita sebegini lazim kita dengari, dan kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan perkara seperti ini bukannya pelik, sebaliknya ia fenomena biasa terutamanya mereka yang lahir pada zaman Dasar Ekonomi Baru.

Jelas terdapat mobiliti sosial di antara generasi di negara kita ini.

Namun persoalannya, adakah cerita-cerita yang membanggakan sebegini dapat diulangi untuk generasi masa hadapan? Jawapannya, mungkin sukar untuk mengulangi prestasi cemerlang ini.  

Ini berbeza dengan mereka yang lahir pada akhir dekad 70-an ataupun 80-an.

Kajian terbaru menunjukkan terdapatnya peningkatan sosioekonomi yang ketara, terutama dari segi pendidikan dan pekerjaan. Lebih kurang 6 daripada 10 anak-anak yang lahir dekad akhir 70-an dan 80-an mendapat taraf pendidikan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka. Malah, empat daripada 10 anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang hanya mempunyai pendidikan rendah mendapat pendidikan tertiari, terutamanya bagi kaum Melayu dan Cina. Bagi kaum India pula, hanya 1 daripada 10 anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang hanya berpendidikan rendah mampu mendapat pendidikan tertiari.

Maka tidak hairanlah hampir 74 peratus anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang berpendapatan terendah mendapat pendapatan yang lebih tinggi daripada ibu bapa mereka. Terdapat mobiliti sosial dalam kalangan rakyat, dan pencapaian sebegini adalah sesuatu yang harus kita banggakan.

Namun, langit tidak selalu cerah. Pada masa hadapan kisah anak nelayan menjadi doktor mungkin jarang diperkatakan lagi. Ini kerana dasar-dasar yang menyebabkan berlakunya peningkatan sosial sudah diubah. Peluang untuk mereka maju dalam merentas generasi makin menipis.

Faktor utama adalah penukaran dasar pendidikan yang berlandaskan meritokrasi. Sebelum ini, terutama pra-2003, peluang untuk mendapat tempat di universiti awam dan pemberian biasiswa ataupun pinjaman pelajaran bukan hanya berdasarkan kelulusan peperiksaan semata-mata. Dasar kerajaan pada masa itu amat adil di mana faktor sosioekonomi keluarga pemohon diambil kira dalam pengagihan peluang.

Oleh kerana kebijaksanaan dan keprihatinan penggubal dasar pada masa itu, maka tidak hairanlah kita acap kali mendengar cerita anak petani menjadi golongan terpelajar. Lahirnya ramai golongan profesional dan kelas menengah Melayu juga berpunca daripada dasar ini.
Namun itu cerita dahulu. Sekarang kelebihan berpihak kepada anak orang berada. 

Kemasukan ke universiti awam tempatan dan pemberian pinjaman atau biasiswa lebih menitikberatkan pencapaian akademik. Ini jelas tidak adil kepada mereka yang datang daripada keluarga yang miskin dan yang bersekolah di luar bandar. Tidak hairan apabila statistik menunjukkan hampir 40 peratus biasiswa kerajaan dibolot kelas menengah dan kaya. Ini pastinya tidak adil.

Yang lebih menyedihkan, bukan hanya peluang pendidikan universiti institusi awam memihak kepada yang kaya, malah di peringkat menengah pun peluang untuk anak golongan susah makin mengecil. Jika dahulu majoriti pelajar di sekolah elit seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) berasal dari desa dan daripada golongan berpendapatan rendah. Data kini menunjukkan hampir 40 peratus pelajar di seluruh MRSM adalah anak golongan penengah dan yang kaya.

Tetapi yang lebih menyedihkan adalah sikap orang Melayu itu sendiri, terutamanya yang kaya dan yang telah pun mendapat bantuan kerajaan. Mereka ini tanpa segan silu mengambil hak orang miskin. Tidakkah mereka sedar perbuatan ini bermaksud telah merampas peluang dan masa hadapan yang cerah bagi golongan miskin? Inilah sikap yang Zaaba telah huraikan lama dahulu, sebelum merdeka lagi. Pendeta agung kita ini berkata kaum Melayu harus menghapuskan bukan hanya kemiskinan dari segi ekonomi, tetapi juga kemiskinan akhlak dan jiwa.

Apa jalan penyelesaiannya? Mudah sahaja, peluang pendidikan terutamanya di MRSM atau SBP harus diberikan seratus peratus kepada mereka daripada golongan susah. Adalah lebih baik sekiranya peluang ini diberikan kepada anak-anak dari estet tanpa mengira kaum daripada diberikan kepada anak Melayu yang hidup senang-lenang tidur ditiup penghawa dingin saban waktu. Pengagihan peluang sebegini barulah dinamakan keadilan sosial.
Namun, jika kita masih tidak mahu mengubah dasar ini, jangan terkejut akan impak negatif yang bakal muncul pada masa hadapan.

Dipetik dari http://www.sinarharian.com.my/mobile/karya/pendapat/jangan-ambil-hak-orang-miskin-1.594044
MUHAMMED ABDUL KHALID

No comments:

Post a Comment