CINTA terhadap dunia tekstil membawa dua individu ini nekad membina empayar perniagaan sendiri.

Meski berlainan bangsa namun kedua-duanya begitu serasi untuk mengukuhkan jenama dalam industri tekstil tanah air.

Tidak betah menyimpan sendiri hasil tuaian yang diraih, kedua-dua individu ini berkongsi pengalaman berharganya untuk dijadikan inspirasi buat usahawan di luar sana.

Maka, lahirlah sebuah rancangan travelog berjudul Jurnal Asyikin Exclusive : Travelog Cinta Tang Guo Hua yang kini bersiaran menerusi saluran 106, Astro Oasis pada setiap Ahad jam 7.30pm.

Rancangan yang kini sudah ditayangkan untuk empat episod bermula 30 Oktober 2016 antara lain memprotretkan kisah kehidupan suka duka dua individu tersebut iaitu Nur Asysikin Rahmat dan Ishaq Tang Guo Hua selaku watak utama sepanjang rancangan.

Menurut Nur Asysikin, program ini adalah bingkisan istimewa buat pencinta fabrik dari jenamanya, Asyikin Exclusive.

“Saya ingin membawa penonton menyelusuri pengalaman perniagaan tekstil melalui sentuhan perkongsian jatuh bangun dan jerih perih sepanjang kami berdua membina empayar.

“Apa yang kami perolehi ketika ini bukan mudah kerana banyak air mata yang tumpah sepanjang membangunkan jenama Asyikin Exclusive.  Paling istimewa, fokus rancangan ini adalah pengembaraan mengenal budaya masyarakat Cina di negara Tembok Besar China,” ujar Nur Asysikin.

Jelas Pengasas Asyikin Exclusive ini, lokasi penggambaran rancangan tersebut yang diadakan di China memberi pengalaman baru kepada penonton.

“Hal ini kerana ia lokasi yang dipilih adalah lokasi baru dan bukanlah wish list tumpuan pelancong. Namun begitu, lokasi-lokasi tersebut menyimpan seribu satu khazanah budaya dan alam yang sangat indah untuk dikunjungi.

“Pasti sahaja keunikan pengembaraan membuatkan penonton terpukau dan kagum dengan keindahan budaya serta pemandangan di sana,” katanya.

Dengan sembilan episod keseluruhannya, Nur Asysikin terharu dengan sambutan penonton meskipun rancangan tersebut baru empat episod ditayangkan.

Pasti sahaja perasaan manis itu dikongsi bersama suami tercinta, Ishaq yang merupakan individu kedua dalam rancangan tersebut.

Menurut Ishaq, Jurnal Asyikin Exclusive: Travelog Cinta Tang Guo Hua merupakan satu catatan peribadi terindah yang dikongsi untuk tatapan penonton.

“Kami menerima maklumbalas yang memberangsangkan dan bersyukur kerana rancangan tersebut mendapat tempat di hati penonton.

"Selain perkongsian antara dua budaya, banyak elemen kejutan menarik dalam rancangan tersebut.

“Ia menjadi satu perkongsian bernilai kami dalam usaha membangunkan empayar tekstil ini. Untuk kita sukses, banyak hakikat pahit yang terpaksa kami telan dan terus cekal bersaing dalam pasaran fesyen,” kata pengasas BaBaNyonya Shop ini.

Artikel ini dipetik dari http://www.sinarharian.com.my/